Selepas menjalani banyak kali ujian perubatan, Bev berasa tertekan dan letih. Dia menjadi cemas apabila doktor memberitahu dia bahawa mereka sedang membuat pemeriksaan kanser ke atasnya. Setiap hari Tuhan menguatkannya dengan janji kehadiran-Nya dan kedamaian yang kekal apabila dia berdoa kepada-Nya atau membaca Alkitab. Dia bergelut dengan ketidakpastian dan belajar untuk menyerahkan segala persoalannya kepada Tuhan. Pada suatu pagi, Bev terbaca ayat dalam Keluaran 23 yang benar-benar menyentuh hatinya sebelum dia menjalani satu pembedahan yang serius: “Aku mengutus malaikat-Ku berjalan di hadapanmu untuk melindungimu di jalan dan untuk membawamu ke tempat yang telah Kusediakan” (ayat 20).

Ayat itu telah difirmankan oleh Tuhan melalui Musa kepada umat-Nya, orang Israel. Dia memberikan hukum-Nya untuk ditaati oleh umat-Nya dan membawa mereka ke tanah yang baharu (ayat 14-19). Dalam perintah itu, Tuhan memberitahu mereka bahawa Dia akan mengutus malaikat yang mendahului mereka “untuk melindungi [mereka] di jalan.” Walaupun ini bukan situasi kehidupan Bev, dia teringat bahawa penjagaan malaikat juga disebut dalam bahagian lain dalam Alkitab. Mazmur 91:11 berkata, “Kerana Dia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya menjagamu untuk memeliharamu walau di mana kamu berada.” Ibrani 1:14 juga memberitahu kita bahawa Tuhan menghantar malaikat sebagai “roh-roh pelayan” untuk melayani orang yang percaya kepada Yesus.

Jika kita memiliki Kristus dalam hidup kita, Dia akan mengutus malaikat-malaikat-Nya untuk melayani kita.